Project #152 Pes Masakan

Assalamualaikum..
Korang pernah buat pes masakan tak? Last week TS dah ada buat beberapa pes masakan. Antaranya pes sambal tumis, pes kari, pes asam pedas, pes sambal udang kering dan pes rendang. Mudah sungguh nak masak bila ada pes macam ni. Sangat2 menjimatkan masa. So, boleh la consentrate pada priority2 lain pulak kan.
Biasanya sebelum buat pes, TS kisar dulu cili kering (yang sudah direbus) +bawang besar + minyak masak. TS buat dalam kuantiti yang agak banyak sebab kebanyakan pes ada guna cili kisar ni. Kalau ada lebih boleh simpan buat stock. Walaupun dah masukkan bawang dlm cili kisar, TS still masukkan bawang lagi masa nak buat pes tu, sebab kuantiti bawang dalam cili kisar tu tak berapa banyak.
Bahan-bahan pes ni TS ikut selera sendiri, kalau korang ada bahan lain nak ditambah untuk jadikan pes tu lagi ‘kaw’ silakan ye.
So, jom kita tengok pes yang TS dah buat. Kat sini TS tak letak sukatan, cuma letak senarai bahan yang TS guna untuk jadikan pes, terpulang la korang nak buat banyak mana..
*TS nak ingatkan bila masak pes gunalah minyak yang agak banyak supaya pes betul2 masak sampai pecah minyak. Barulah pes tu rasa sedap dan akan lebih tahan lama. TS nasihatkan simpan pes bahagian sejuk beku (frozen) sebab kita tak ada guna sebarang bahan awet. Tak perlu defrost,terus gunakan aje. Simpan dalam portion/bahagian kecil (untuk sekali masak) supaya mudah nak guna nanti.

PES SAMBAL TUMIS
Cili Kering/Kisar
Bawang Merah Besar
*Bawang Putih
*Halia
(Bawang putih & halia tak letak pun tak pe, tapi kalau nak letak mesti masuk dua2 bahan.)
Belacan-jika suka
Air Asam Jawa/Asam Keping
Garam
Gula

Cara:
Kisar bawang merah, bawang putih, halia, belacan & cili. Tumiskan, kalau guna asam keping terus masukkan sekali dan juga garam (garam kita masuk awal supaya pes tak terlalu merecik semasa memasak) Tumis sehingga betul-betul pecah minyak dan sedikit garing,. kemudian masuk air asam jawa dan perasakan dengan garam /gula.

Cadangan Masakan:
1) Sambal ayam, ikan, seafood dan daging.
Masukkan pes dlm kuali bersama sedikit air, bila mendidih masukkan ayam & ikan yang telah digoreng, Untuk seafood tak perlu goreng dahulu, masuk terus bila mendidih. Untuk daging pun tak perlu goreng, masukkan bila mendidih dan masak hingga lembut.

2) Sambal Kering/Sira (seperti sambal tempe,kekacang,kentang, kerepek, popiah dll..)
Masukkan pes bersama sedikit air, masak sehingga agak kering, seimbangkan rasa, baru gaulkan bahan yang hendak disira (telah digoreng/masak terlebih dahulu)

3) Asam Pedas
Masuk pes dalam periuk dan tambah air dan daun kesum/kantan. Biar mendidih baru masukkan ayam/ikan/daging dan lain2. Tambah air asam jawa. Perasakan dengan garam & gula.

Kalau nak pes Asam Pedas lagi kaw boleh scroll bawah…

PES ASAM PEDAS
Cili Kering/Kisar (nak tambah cili api pun boleh)
Bawang Merah Besar
Bawang Putih
Halia
Tomato
Belacan
Rempah Kari
*guna sikit je, dalam 1 hidangan cuma guna ½ sudu kecil sahaja, so klo pes ni korang buat utk 2x masak masukkan 1sudu kecil ye
Serbuk Kunyit
Air Asam Jawa
Garam
Gula

Cara:
Kisar bawang merah, bawang putih, halia, tomato, belacan dan cili. Tumiskan bersama rempah kari dan sedikit serbuk kunyit dan garam. (garam kita masuk awal supaya pes tak terlalu merecik semasa memasak) Bila dah betul-betul pecah minyak baru masukkan air asam jawa dan perasakan dengan garam/gula.

Cadangan Masakan:
1) Asam pedas ayam, ikan, daging dll.
Masukkan pes dalam periuk dan tambah air, daun kesum dan kantan jika suka. Bila mendidih masukkan ikan, ikan ayam, daging. Tambah air asam jawa/ jus limau kasturi/jus limau nipis. Perasakan garam & gula. Boleh masukkan sayuran yang disukai seperti terung dan bendi.

2) Sambal Asam Pedas
Masukkan pes bersama sedikit air dan kesum. Masak sehingga agak kering, seimbangkan rasa, baru masukkan ikan/ayam yang telah digoreng.

Ingat ya, untuk buat pes asam pedas ni, serbuk kari cuma guna sedikit sahaja untuk dapatkan rasa asam pedas yang lebih ‘kaw’. Kalau nak masuk rempah kari banyak-banyak, sila la buat pes kari macam kat bawah ni…

PES KARI
Cili Kering/Kisar
Bawang Merah
Bawang Putih
Halia
Rempah Kari (tak perlu bancuh air)
*TS guna rempah kari ikan x kira nak masak kari apa pun, sebab bagi TS rasa rempahnya lebih kuat.
Air Asam Jawa
Gula Merah/Melaka/Putih
Garam

Cara:
Kisar bawang merah, putih, halia & cili. Tumiskan bersama rempah kari dan garam (garam kita masuk awal supaya pes tak terlalu merecik semasa memasak). Bila dah betul2 masak dan naik minyak baru masukkan air asam jawa, gula merah/melaka/pasir/garam.

Cadangan masakan:
1) Kari Ayam/ Ikan/Daging
Tumis rempah 4 sekawan (kulit kayu manis, pelaga, lawang & cengkih)/daun kari/halba/ biji sawi dan lain2 yang anda suka sebelum memasukkan pes kari. Kemudian masuk pes kari dan tambah sedikit air. Biar sehingga mendidih baru masukkan ikan/ayam/ daging/ seafood/sayuran dan sebagainya. Masukkan santan jika perlu. Tambah air asam jawa/garam/gula atau boleh gantikan sos tomato & sos tiram untuk seimbangkan rasanya. Biasanya TS akan masukkan sedikit kerisik untuk menambah rasa lemak manis (untuk kari ikan/ayam/daging). Kemudian baru diangkat.

2) Inti Karipap/Pau Ayam & Daging
Tumis rempah 4 sekawan (jika suka)/daun kari, kemudian masukkan daging/ayam cincang. Goreng sebentar baru masukkan pes kari besama sedikit air. Kemudian masukkan kentang dan masak sehingga empuk. Sesuaikan rasa. Masak sehingga agak kering baru diangkat.

Bagi penggemar masakan ala thai, korang mesti suka makan tom yam kan. Korang boleh buat pes sambal udang ni untuk masak tom yam. Bahan-bahan seperti di bawah.

PES SAMBAL UDANG KERING
Cili Api+Lada Besar (guna warna merah bagi warna dia cantik)
Bawang Merah Besar (tak perlu banyak sangat)
Bawang Putih (banyak dari kegunaan biasa)
Udang Kering (ni pun tak perlu banyak sangat, nanti terlalu kuat rasa udang kering)
Lengkuas
Serai
Garam
Gula
Sos Ikan (jika ada)

Cara:
Kisar semua bahan(kecuali garam, gula dan sos ikan) dan tumis sehingga betul-betul pecah minyak. Perasakan dengan garam/gula/sos ikan. Ok siap..

Cadangan Masakan:
1) Tom Yam
Masukkan pes bersama air. Biarkan mendidih baru masukkan ayam/daging/seafood. Jangan lupa masukkan daun limau purut (wajib) & bunga kantan (jika suka). Kemudian masukkan sayuran yang anda suka. Akhir sekali masukkan jus Limau nipis/kasturi. Biasanya sebelum angkat TS akanmasukkan sedikit susu pekat/cair untuk seimbangkan rasa tomyam (dalam sesudu je)

2) Sambal Kelapa (untuk inti pulut panggang/kuih cucur badak dll)
Masukkan pes bersama sedikit air, biar sedikit kering dan seimbangkan rasa, baru masukkan kelapa dan masak sehingga agak kering.

PES RENDANG
Lada Besar+Cili Api (guna yang merah untk warna lebih cantik)
Bawang Besar
Bawang Putih
Halia
Lengkuas
Serai
Daun Limau Purut (tak de pun tak pe)
Buah Keras (tak de pun tak pe)
Serbuk Kunyit (kalau guna kunyit hidup pon boleh)
Air Asam Jawa
Garam
Gula Merah/Melaka/Pasir

Cara:
Kisar semua bahan (kecuali garam, gula, serbuk kunyit dan air asam jawa). Tumis bahan kisar bersama serbuk kunyit sampai pecah minyak.Masukkan air asam jawa, garam dan gula.

Cadangan Masakan:
1) Rendang
Masukkan pes bersama sedikit air, biarkan mendidih baru masukkan ayam/daging/ kerang dan lain-lain. Masukkan santan jika mahu. Seimbangkan rasa. Tambah kerisik dan juga taburkan daun kunyit.

Selain Tomyam, kari hijau pun terkenal di Thailand. Jom tengok bahan-bahan yang digunakan untuk buat pes ni jadi hijau.
PES KARI HIJAU
Bawang Merah Besar (tak perlu banyak)
Bawang Putih (banyak)
Cili Hijau Besar + Cili Api Hijau
Daun Ketumbar+akar
Serai
Lengkuas
Halia
Daun Limau Purut
Belacan
Air Asam Jawa
Serbuk Kunyit
Garam
Gula

Caranya:
Kisar semua bahan kecuali air asam jawa, serbuk kunyit, garam & gula. Tumis sampai betul-betul pecah minyak. Masukkan sedikit serbuk kunyit untuk jadikan warnanya lebih menarik. Bila dah mula garing, baru masukkan air asam jawa. Kemudian perasakan dengan garam dan gula. Seimbangkan rasanya, kemudian boleh ditutup apinya.

Cadangan Masakan:
1) Gulai Kari Hijau
Ada beberapa cara nak masak.
1) Kalau cara thailand, masak santan sampai pecah minyak, kemudian masukkan pes dengan sedikit air. Bila dah mendidih, boleh masukkan ayam/daging/udang .Boleh juga tambahkan sayuran seperti rebung manis, terung pipit, kentang, tomato dan lain2. Perasakan dengan garam & gula.Boleh juga masukkan sedikit lada sulah.
*cara ni tak digalakkan jika guna santan kotak.

2)Kalau ikut kebiasaan kita, masukkan pes dengan sedikit air. Bila dah mendidih, boleh masukkan ayam/daging/udang . Kemudian masukkan santan. Boleh juga tambahkan sayuran seperti rebung manis, terung pipit, kentang, tomato dan lain2. Seimbangkan rasanya.

Nak lagi pes ala thai, ok kita buat pes padprik plak, mesti ramai suka makan padprik kan. Jom tengok bahan-bahan dia.

PES PADPRIK
Bawang Merah Besar (tak perlu banyak)
Bawang Putih (banyak)
Halia
Lada Merah Besar 
*boleh tambah Cili Tomyam/api jika nak pedas
Serai
Daun Limau Purut
Sos Cili
Sos Tomato
Sos Tiram
Kicap Manis/gula
Garam

Caranya:

Kisar bawang merah, bawang putih, halia, serai, lada merah, daun limau purut. Kemudian tumiskan sehingga pecah minyak. Masukkan sos cili, sos tomato dan sos tiram juga sedikit kicap manis atau boleh ganti dengan gula. Juga garam jika perlu.

Cadangan Masakan
1)Padprik Sayuran/Ayam/Seafood
Masukkan sedikit sahaja minyak, tumis ayam/seafood dengan sedikit garam & serbuk kunyit, masukkan sayur, biarkan tergoreng sedikit, kemudian baru masukkan pes dan tambah air jika perlu. Kalau nak lebih pedas masukkan cili tomyam/api yang diketuk.

2) Nasi Goreng Padprik
Masukkan sedikit sahaja minyak, tumis ayam/seafood dengan sedikit garam & serbuk kunyit, masukkan sayur, biarkan tergoreng sedikit,  Kalau nak lebih pedas masukkan cili tomyam/api yang diketuk.
kemudian baru masukkan pes dan nasi. Kacau Sebati. 

Banyak lagi pes yang boleh dibuat. Insyaallah TS akan update dari semasa ke semasa.

Comments

Post a Comment

Popular Posts